Friday, July 29, 2011

Soal Jawab Solat :: Hukum Baca Surah pada Rakaat Ke-3 dan Ke-4 .

Setiap rakaat solat mesti dibacakan surah al-Fatihah sebagai salah satu rukun solat. Barangsiapa yang tidak membaca al-Fatihah maka solatnya tidak sah di sisi syarak.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Tidak sah solat orang yang tidak membaca al-Fatihah.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Bacaan al-Fatihah pada setiap rakaat sudah sedia dimaklumi oleh orang Islam sekaliannya. Namun, bagaimana pula dengan bacaan surah / ayat-ayat al-Quran al-karim selepas al-Fatihah? Sudah dimaklumi dan menjadi kelaziman bahawa disunatkan membaca surah / ayat-ayat al-Quran al-Karim selepas al-Fatihah adalah pada rakaat pertama dan kedua. Di antara dalil yang dikemukakan oleh para ulama adalah:

Berkata Qatadah R.A. bermaksud:
Nabi S.A.W. telah membaca Ummul Kitab (al-Fatihah) dan satu surah pada dua rakaat yang pertama solat Zohor dan solat Asar.
Dalam riwayat lain: Begitulah juga baginda S.A.W. lakukan ketika solat Subuh.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Berkata Abu Hurairah R.A. bermaksud:
Aku tidak pernah mengikuti solat yang lebih menyerupai solat Rasulullah S.A.W. selain daripada solat orang ini. Ketika kami bersolat di belakangnya dia memanjangkan dua rakaat yang pertama solat Zohor dan menyederhanakan dua rakaat yang akhirnya. Dia juga menyederhanakan solat Asar manakala Maghrib pula dia membaca ayat yang pendek. Ketika solat Isyak dia membaca surah al-Syams dan yang seumpamanya manakala pada solat subuh pula dia membaca dua surah yang panjang.
(Riwayat an-Nasaie).

Walaubagaimanapun, bukanlah menjadi kesalahan untuk membaca surah / ayat-ayat al-Quran al-Karim pada rakaat ketiga dan keempat selepas membaca al-Fatihah. Ia bukanlah suatu bidaah dholalah dan dilarang sama sekali.

Dari Abu Said al-Khudri bahawa Nabi S.A.W. membaca (ayat) pada 2 rakaat yg pertama dari solat Zuhor kira-kira 30 ayat pada setiap rakaat. Dan pada 2 rakaat yang terakhir kira-kira 15 ayat. Dan pada 2 rakaat pertama solat Asar pada setiap rakaatnya kira-kira 15 ayat sedangkan pada 2 rakaat (yang akhir) setengah dari itu.
(Riwayat Muslim dan Ahmad).

Kesimpulannya, jika hendak membaca surah / ayat-ayat al-Quran al-Karim (selepas al-Fatihah) hanya pada rakaat pertama dan kedua sahaja dibolehkan. Hendak terus membaca juga pada rakaat ketiga dan keempat juga dibolehkan. Dan sesiapa memilih untuk tidak membaca surah / ayat-ayat al-Quran al-Karim pada setiap rakaat juga dibolehkan.


Wallahualam.

Ismi Fynaz

No comments:

Post a Comment